Faedah Membaca

KAEDAH CEPAT MEMBACA Ajar Anak Anda Membaca - Bagaimana Menggunakan Kaedah Fonetik (Bahagian 1) Bersama Othman Ahamad Penulis Siri Cepat Membaca Bacalah Anakku dan ReadEasy Sudahkah anda bersedia untuk belajar membaca? Sebagaimana yang dijelaskan pada isu lepas, anak-anak yang diberi rangsangan yang sesuai akan bersedia untuk belajar membaca seawal usia 3 tahun. Bagaimanapun, apakah kaedah yang sesuai dengan anak-anak anda? Kaedah mengeja? Jangan. Kaedah suku kata? Tidak juga. Gunakanlah kaedah fonetik. Mengapa? Kaedah fonetik adalah kaedah yang paling sesuai dengan kanak-kanak kerana kaedah ini telah dibuktikansecara saintifik sebagai kaedah otak manusia membaca. Kajian telah menunjukkan bahawa otak membaca dengan memecahkan perkataan yang dilihat kepada bunyi-bunyi, lalu otak membunyikan huruf-huruf yang dilihat bagi menyebut atau membaca perkataan itu. Kaedah lain bukan sahaja tidak sesuai untuk kanak-kanak bahkan menyusahkan mereka, lambat, mengelirukan dan membebankan memori. Ada beberapa perkara JANGAN yang perlu ibu bapa tahu supaya tidak menyussalahkan anak-anamenyusahkan anak-anakk apabila mengajar membaca. 1. JANGAN ajar nama-nama huruf contohnya ‘ei’ untuk huruf ‘a’, ‘bi’ untuk huruf ‘b’ dan seterusnya kerana anak-anak yang tahu nama-nama huruf tidak semestinya dapat membaca. Bahkan mengajar mengenal nama huruf a, b, c adalah halangan pertama membaca. 2. JANGAN ajar anak mengeja-eja huruf pada perkataan-perkataan yang dilihat kerana mengeja melibatkan dua proses iaitu menyebut nama huruf dan membatang pola-pola ejaan. 3. JANGAN ajar anak mengenal bunyi huruf sambil mengenalkan nama huruf sekaligus, contohnya seperti menyebut ‘ei’ (huruf ‘a’) bunyinya ‘a’ kerana anak tidak perlu tahu nama huruf untuk membaca. 4. JANGAN ajar anak menghafal mana-mana suku kata atau perkataan apabila mula mengenal perkataan kerana kanak-kanak akan terbeban dengan ratusan pola-pola ejaan yang menyukarkan. 5. JANGAN ajar huruf-huruf besar dahulu kepada kanak-kanak kerana huruf besar tidak penting kepada kanak-kanak pada peringkat awal. Jadi apakah yang BOLEH dalam mengajar anak membaca mengikut kaedah fonetik? Membaca mengikut kaedah fonetik melibatkan proses awal berikut; Memperkenalkan bunyi secara sistematik 1. anak-anak perlu tahu bunyi huruf – iaitu dapat menyebut bunyi dan ingat bunyi huruf yang diajarkan 2. anak-anak perlu kenal huruf – iaitu bentuk, rupa dan cara tulis huruf tersebut 3. anak-anak dapat mengaitkan huruf yang dilihat dengan bunyi yang berkaitan. Kanak-kanak seawal usia 3 tahun dapat mengecam dan membezakan bunyi-bunyi dan bentuk-bentuk pada usia ini. Oleh itu dengan teknik yang betul anak-anak dapat mengenal bunyi dan mengaitkan bunyi tersebut dengan bentuk huruf yang ditunjukkan dengan cepat. Anak-anak dapat menyebut bunyi ‘aa’ apabila melihat huruf ‘a’ (nama huruf ‘ei’) dan bunyi ‘ii’ apabila melihat huruf ‘e’. Sehubungan itu, apabila anak-anak melihat huruf ‘ani’, dia akan menyebut bunyi ‘aa’ ‘nn’ ‘ii’ (iaitu bunyi ani) bukannya ‘ei’ ‘en’ ‘ai’ (bunyi enai). Beberapa teknik mengajar bunyi boleh dilakukan oleh ibu bapa tetapi kaedah asosiasi adalah yang terbaik. Melalui kaedah asosiasi, bunyi ‘aa’ tersebut boleh dikaitkan dengan aksi terkena api. Sakitkan? Jadi buat aksi orang terkena api sambil menjerit ‘aaaaaaa panasnya!’ Melalui asosiasi ini anak dapat mengingat dan menyebut bunyi dengan lebih berkesan, cepat dan berkekalan. Ikutilah kursus-kursus Bacalah Anakku atau rujuk buku panduan siri cepat membaca Bacalah Anakku. Sebaik-baiknya ibu bapa tidak perlu memperkenalkan semua bunyi sekaligus. Memadai hanya beberapa bunyi asas terlebih dahulu. Sila dapatkan siri cepat membaca Bacalah Anakku yang telah disusun secara sistematik dalam pemilihan bunyi-bunyi huruf yang sesuai terlebih dahulu. Dengan mengikut susunan siri ini, anak dapat menguasai bunyi dengan lebih teratur dan berkesan. Oleh sebab laras bahasa Melayu terbina daripada gabungan huruf konsonan dengan huruf vokal ‘a’ ‘i’ dan ‘u’ lebih kerap, wajarlah bunyi-bunyi ‘a i u’ diperkenalkan dahulu. Lebih-lebih lagi bunyi-bunyi ini lebih senang disebut oleh kanak-kanak. Seterusnya bunyi-bunyi konsonan lain diperkenalkan satu persatu , contohnya ‘b’ ‘n’ ‘m’ ‘s’ dan ‘k’. Seterusnya, dengan berpandukan siri cepat membaca Bacalah Anakku, ajar anak-anak membaca gabungan huruf konsonan dan vokal yang diajarkan , contohnya ‘b’ dan ‘a’ ‘i’ dan ‘u’ untuk membaca ‘ba’ ‘bi’ dan ‘bu’. Melalui kaedah fonetik, anak-anak tidak akan mengeja ‘ba’ menjadi “ba” ; tidak juga menghafal suku kata ‘ba’; tetapi mereka membaca dengan menggabung-gabungkan bunyi ‘beh’ (bagi huruf ‘b’) dan ‘aa’ (bagi huruf ‘a’).

pantun nasihat


PANTUN  NASIHAT

Air melurut ke tepian mandi
    Kembang berseri bunga senduduk
Elok diturut resmi padi                
   Semakin berisi semakin tunduk

Daun sirih ulam Cik Da    
    Makan sekapur lalu mati
Walaupun banyak ilmu di dada
    Biar merunduk resmi padi

Buah pelaga makan dikikir
    Dibawa orang dari hulu
Sebarang kerja hendak difikir      
   Supaya jangan mendapat malu

Kemumu di tengah pekan      
    Dihembus angin jatuh ke bawah
Ilmu yang tidak diamalkan
   Bagai pohon tidak berbuah

Tumbuh melata si pokok tebu
   Pergi pasar membeli daging
Banyak harta tak ada ilmu
   Bagai rumah tidak berdinding

Tulis surat di dalam gelap          
   Ayatnya banyak yang tidak kena
Jagalah diri jangan tersilap          
   Jikalau silap awak yang bencana

Hendak belayar ke Teluk Betong        
   Sambil mencuba labuhkan pukat
Bulat air kerana pembetung          
   Bulat manusia kerana muafakat

 Pakai baju warna biru        
    Pergi ke sekolah pukul satu
Murid sentiasa hormatkan guru
    Kerana guru pembekal ilmu

Padi segemal kepuk di hulu
   Sirih di hilir merekap junjungan
Kepalang duduk menuntut ilmu
   Pasir sebutir jadikan intan.

Budak-budak berkejar-kejar
   Rasa gembira bermain di sana
Kalau kita rajin belajar        
  Tentu kita akan berjaya

Jangan pergi mandi di lombong      
   Emak dan kakak sedang mencuci
Jangan suka bercakap bohong
   Semua kawan akan membenci

Buah cempedak bentuknya bujur
    Sangat disukai oleh semua
Jika kita bersikap jujur
    Hidup kita dipandang mulia

Jikalau tuan mengangkat peti
   Tolong masukkan segala barang
Jikalau anak-anak bersatu hati        
   Kerja yang susah menjadi senang

Asam kandis mari dihiris        
    Manis sekali rasa isinya
Dilihat manis dipandang manis
    Lebih manis hati budinya

Kayu bakar dibuat arang    
   Arang dibakar memanaskan diri
Jangan mudah menyalahkan orang
    Cermin muka lihat sendiri

Selasih tumbuh di tepi telaga
    Selasih dimakan si anak kuda
Kasih ibu membaa ke syurga
    Kasih saudara masa berada

Masuk hutan pakai sepatu      
    Takut kena gigitan pacat
 Kalau kita selalu bersatu        
    Apa kerja mudah dibuat

Bandar baru Seberang Perai  
    Gunung Daik bercabang tiga
 Hancur badan tulang berkecai
    Budi yang baik dikenang juga



Orang haji dari Jeddah            
    Buah kurma berlambak-lambak
Pekerjaan guru bukanlah mudah
    Bagai kerja menolak ombak

Pinang muda dibelah dua        
    Anak burung mati diranggah
Dari muda sampai ke tua        
    Ajaran baik jangan diubah

 Terang bulan di malam sepi          
Cahya memancar kepangkal kelapa
 Hidup di dunia buatlah bakti    
    Kepada ibu dan juga bapa  

Asal kapas menjadi benang
    Dari benang dibuat kain        
Barang yang lepas jangan dikenang  
    Sudah menjadi hak orang lain

Tengahari pergi mengail    
    Dapat seekor ikan tenggiri
 Jangan amalkan sikap bakhil
    Akan merosak diri sendiri

Kapal Anjiman disangka hantu
    Nampak dari Kuala Acheh
Rosak iman kerana nafsu    
    Rosak hati kerana kasih

Tingkap papan kayu bersegi    
   Sampan sakat di Pulau Angsa
Indah tampan kerana budi
   Tinggi darjat kerana bahasa

Anak Siti anak yang manja
    Suka berjalan di atas titi
Orang yang malas hendak bekerja      
    Pasti  menyesal satu hari nanti

Bintang tujuh sinar berseri          
    Bulan purnama datang menerpa
Ajaran guru hendak ditaati        
    Mana yang dapat jangan dilupa

Parang tajam tidak berhulu
    Buat menetak si pokok Ru
Bila belajar tekun selalu    
     Jangan ingkar nasihat guru

Hari malam gelap-gelita
   Pasang lilin jalan ke taman
Sopan santun budaya kita            
   Jadi kebanggaan zaman berzaman

Pergi berburu sampai ke sempadan
     Dapat Kancil badan berjalur
 Biar carik baju di badan        
     Asalkan hati bersih dan jujur

 Pulau Pandan jauh ke tengah
     Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
    Budi yang baik di kenang juga

Ramai orang membeli jamu        
    Di bawah pokok cuaca redup
Bersungguh-sungguh mencari ilmu
    Ilmu dicari penyuluh hidup

 Apa guna berkain batik        
    Kalau tidak dengan sucinya?
Apa guna beristeri cantik    
    Kalau tidak dengan budinya

Berakit-rakit ke hulu            
    Berenang-renang ke tepian
 Bersakit-sakit dahulu            
    Bersenang-senang kemudian

  Buah cempedak diluar pagar    
    Ambil galah tolong jolokkan
 Saya budak baru belajar        
   Kalau salah tolong tunjukkan

Pisang emas dibawa belayar
    Masak sebiji di atas peti
  Hutang emas boleh dibayar    
    Hutang budi dibawa mati

Dalam semak ada duri        
    Ayam kuning buat sarang
Orang tamak selalu rugi        
    Macam anjing dengan bayang

 Baik-baik mengirai padi        
    Takut mercik ke muka orang
 Biar pandai menjaga diri        
    Takut nanti diejek orang

Ke hulu membuat pagar
   Jangan terpotong batang durian
Cari guru tempat belajar    
    Supaya jangan sesal kemudian

Mari kita tanam halia        
    Ambil sedikit buat juadah
Usia muda jangan disia    
    Nanti tua sesal tak sudah

Padi muda jangan dilurut
    Kalau dilurut pecah batang
Hati muda jangan diturut
    Kalau diturut salah datang

Cuaca gelap semakin redup        
   Masakan boleh kembali terang
Budi bahasa amalan hidup          
   Barulah kekal dihormati orang

Orang Daik memacu kuda
    Kuda dipacu deras sekali
Buat baik berpada-pada    
    Buat jahat jangan sekali

Dayung perahu tuju haluan            
   Membawa rokok bersama rempah
Kalau ilmu tidak diamalkan
   Ibarat pokok tidak berbuah

Pinang muda dibelah dua
    Anak burung mati diranggah
Dari muda sampai ke tua
   Ajaran baik jangan diubah


Pantai Mersing kuala Johor              
   Pantainya bersih sangat mashyur
Pohonkan doa kita bersyukur      
  Negara kita aman dan makmur

Orang tua patut disegani    
    Boleh mendapat ajar nasihat
Ular yang bisa tidak begini
    Bisa lagi lidah yang jahat

Ramai orang menggali perigi
    Ambil buluh lalu diikat
Ilmu dicari tak akan rugi
        Buat bekalan dunia akhirat

Tuan Haji memakai jubah                  
   Singgah sembahyang di tepi lorong
Kalau sudah kehendak Allah          
   Rezeki segenggam jadi sekarung

Anak rusa masuk ke taman      
     Puas sudah orang memburu
Kalau muda jadikan teman
     Kalau tua jadikan guru
      
Berakit ke hulu dengan bergalah
    Buluh pecah terbelahdua
Orang tua jangan dilangkah
   Kelak biadap dituduhnya pula

Rusa betina berbelang kaki
     Mati terkena jerat sembat        
Orang yang muda kita sanjungi
     Orang yang tua kita hormat

Sorong papan tarik papan
     Buah keranji dalam perahu
Suruh makan awak makan          
    Suruh mengaji awak tak mahu

Adik ke kedai membeli halia
     Emak memesan membeli laksa
Jadilah insan berhati mulia
    Baik hati berbudi bahasa


Pergi ke kedai naik beca,
Beca dinaik bersama tamu,
Rajin-rajin adik membaca,
Membaca baik menambah  ilmu.

Pagi – pagi mendengar cerita,
Cerita dari cikgu Rohaya,
Hidup kita punya cita-cita,
Untuk berjasa dan berjaya.

Jalan – jalan mencari makan
Asam pedas jadi pilihan
Budi yang baik jadi ikutan
Di sayang guru juga rakan

Sarapan pagi minum susu
Di hidang bersama roti dan kaya
Membuat keputusan jangan terburu
Supaya hidup selamat sejahtera.

Adik berbisik mahu berahsia
Ibu mendengar tanpa jemu
Kalau mahu hidup bahagia
Penuhkan  ilmu di dadamu

Anak rusa masuk ke taman
Puas sudah orang memburu
Kalau muda jadikan teman
Kalau tua jadikan guru

Berakit ke hulu dengan bergalah
Buluh pecah terbelah dua
Orang tua jangan dilangkah
Kelak biadap dituduhnya pula

Rusa betina berbelang kaki
Mati terkena jerat sembat
Orang yang muda kita sanjungi
Orang yang tua kita hormat

Emak  Ani membeli halia
Adik memesan membeli laksa
Jadilah insan berhati mulia
Baik hati berbudi bahasa

6 comments:

  1. Seekor ayam di pokok anggur,
    Buah anggur yang telah dirasa,
    kalau hendak menegur,
    Kenalah berbudi bahasa.

    ReplyDelete
  2. asslamualaikum..mohon share yer pantun..terima kasih

    ReplyDelete
  3. terima kasih diatas pantun. mohon saya guna di sekolah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih diatas pantun. Mohon saya guna di sekolah

      Delete
  4. Pergi ke Kelantan singgah ke KT
    Lalu ke bundle cari barang rare
    Wahai empunya blog yang baik hati
    Minta izin saya nak share

    ReplyDelete